Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan mengeluarkan Strategi Keselamatan Siber Negara pada pertengahan tahun ini bagi menangani ancaman siber secara komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akui ancaman keselamatan siber akan terus memberi cabaran kepada pengurusan keselamatan negara apabila berlaku peningkatan kebergantungan kepada teknologi-teknologi baharu yang bermanfaat.

“Strategi ini akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan National Cyber Security Workforce bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhil Shaari (Pas-Pasir Mas) berhubung usaha kementerian dalam membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Jelas beliau, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber melalui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP).

“Pelan ini yang dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindak balas yang perlu dilaksanakan oleh agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada pelbagai agensi awam dan swasta.

“Pelan ini telah diterjemahkan kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 24: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Siber Negara serta Prosedur Tindakbalas Komunikasi dan Penyelarasan Krisis Siber Negara,” katanya.

Salah satu aktiviti utama yang digariskan di bawah Arahan MKN No. 24 adalah pelaksanaan Latih Amal Krisis Siber Negara (X-Maya) yang bertujuan untuk menguji keberkesanan prosedur dan membiasakan agensi CNII dengan mekanisme pengendalian insiden siber serta meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan agensi bagi menghadapi sebarang ancaman siber.