Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan kewajaran pihak yang ingin mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan pada masa dan tempat di mana persediaan sambutan Hari Kemerdekaan akan dijalankan.

“Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-58.

“Namun, kita semua sedia maklum bahawa sebuah perhimpunan tunjuk perasaan telah dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan hari kemerdekaan akan dijalankan.

“Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik,” kata Najib menerusi blog rasminya NajibRazak.com.

Beliau turut mengingatkan bahawa hari tersebut merupakan hari di mana semua rakyat Malaysia harus mengenepikan perbezaan mereka, dan meraikannya dengan penuh rasa patriotik dan cintakan negara.

Menurut Najib, terdapat ramai yang berhak menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ini.

Antaranya ialah wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain yang bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan hari kemerdekaan kita? Fikirkanlah,” soal Najib kepada rakyat Malaysia.