Pihak polis akan memanggil Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi diambil keterangan berhubung kes video intim yang dikaitkan dengan Ketua Amk Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Itu pengesahan yang dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang menjelaskan perkara terbabit adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana kes yang dilaporkan.

Menurutnya, berkenaan Haziq Abdullah yang ditahan petang semalam, individu terbabit akan dibebaskan lewat petang ini dengan jaminan polis selepas pihak polis selesai mengambil keterangan terhadapnya.

Keterangan individu terbabit amat penting selepas dia membuat dakwaan dalam kes tersebut.

Pihaknya juga akan melaksanakan siasatan yang menyeluruh dan teliti bagi mendapatkan keputusan akhir yang terbaik dan adil bagi semua pihak yang terlibat.

"Tindakan itu seperti yang saya katakan tadi, kita ambil pendekatan yang menyeluruh. Semua pihak akan dipanggil bagi diambil keterangan mereka,” ujar beliau.

BACA: Haziq di HKL, dijangka bebas dengan jaminan polis

BACA: 'Mereka kenal saya sangat' - Azmin

Abdul Hamid berkata demikian ketika hadir dalam majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di Kangar.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail.

Sementara itu, Abdul Hamid menegaskan pihaknya masih dalam proses melakukan siasatan berhubung ketulenan video lucah tersebut.

Jelasnya, siasatan tersebut adalah bagi memastikan adakah wujud elemen paksaan atau konsipirasi dalam proses penyebaran video terbabit.