Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nafi isu klip video intim yang didakwa miripnya menjejaskan kredibilitinya sebagai anggota Kabinet.

Kata beliau, ramai yang tetap memberi sokongan kepadanya di sebalik kontroversi berkenaan.

"Mereka (di kawasan saya) mereka kenal saya sangat dan mereka telah bersama dengan saya. Saya sangat terharu kerana ramai di luar sana yang datang ke hadapan dan menunjukkan sokongan mereka serta datang ke rumah (untuk menemuinya).

"Saya perlu berterima kasih dengan sokongan ini," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Akrab Aidilfitri Raikan Bersama, Eratkan Silaturrahim anjuran Masjid Bukit Antarabangsa dan JPK Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 5 di Bukit Antarabangsa pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau menegaskan, apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jelas iaitu hentikan politik kotor seumpama itu.

Mohamed Azmin bagaimanapun sedia memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pendedahan klip video berkenaan.

"Polis akan meneruskan siasatan dan saya menyatakan komitmen agar ia diteruskan. Saya akan memberi kerjasama penuh dan biarkan mereka (pihak berkuasa) melakukan tugas mereka," ujarnya.

Justeru beliau berharap tiada pihak yang cuba melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Dalam pada itu, beliau mengakui ada berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu berkenaan.

"Ya, kami ada bercakap mengenai perkara itu. Saya telah memberi penjelasan kepadanya. Itu sahaja." jelas beliau.

BACA: 'Semoga gerhana ini berlalu pergi' - Azmin terharu keprihatinan mufti

BACA: Polis sahkan Haziq ditahan di KLIA sebelum berlepas ke Manila

BACA: Azmin tidak perlu diminta bercuti - Anwar