Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna (FOMCA) menggariskan 10 perkara utama yang perlu dititikberatkan kerajaan susulan pengumuman Bajet 2016 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Perkara pertama yang dibincangkan FOMCA dalam satu kenyataan Sabtu adalah berhubung Rumah Mampu Milik (Affordable Homes).

Menurut FOMCA, cadangan untuk rumah dijual 20 peratus di bawah harga pasaran mungkin masih tinggi berbanding dengan pendapatan rakyat yang masih rendah.

Dalam menetapkan harga rumah, pendapatan pengguna harus diambil kira terutamanya bagi keluarga muda yang mahu membeli rumah pertama mereka.

FOMCA turut menggesa agar peruntukan untuk pembinaan rumah PRIMA dan agensi-agensi kerajaan harus dikendalikan secara tulus.

Selain dari pembinaan rumah PRIMA, pembinaan rumah swasta juga harus dikawal untuk memastikan rakyat mampu membeli khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

FOMCA melihat Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama untuk membantu pembeli rumah pertama memiliki rumah adalah satu usaha terbaik namun mendesak kerajaan untuk melaksanaan program "Build then Sell" untuk melindungi pengguna daripada pemaju yang tidak bertanggung jawab.

Selanjutnya FOMCA menyentuh perkara kedua iaitu Pengangkutan Awam.

Biarpun peruntukan besar diperuntukkan untuk LRT and MRT dalam pembentangan tersebut namun sistem asas pengangkutan awam iaitu bas masih ketinggalan. Pengguna masih terpaksa menggunakkan kereta oleh kerana sistem bas iaitu bas "the last mile" masih tidak boleh dipercayai sambil menegaskan sistem pengangkutan awam Malaysia masih belum mencapai tahap berdaya maju.

Perkara ketiga yang disentuh agensi itu menyentuh aspek kesihatan.

FOMCA turut menyokong usaha kerajaan memperkenalkan pengecualian GST ke atas semua jenis ubat terkawal meliputi racun Kumpulan A, B, C, dan D meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Kerajaan turut memperkenalkan insentif tambahan dengan membenarkan penjualan 95 jenis ubat di kaunter.

Menurut FOMCA, kerajaan perlu menangani isu kekurangan doktor pakar terlebih dahulu berbanding penambahan hospital baharu kerana pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk berjumpa pakar dan mendapatkan rawatan kerana kekurangan yang dihadapi masa kini.

Seterusnya, kerajaan harus mengambil langkah untuk menambah doktor-doktor pakar dan mengekalkan pakar sedia ada di hospital kerajaan dan seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan.

FOMCA turut senada dengan kerajaan dalam usaha menambah baik saluran bekalan air yang berterusan di luar bandar dengan peruntukan RM568 juta bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar.

Agensi itu bagaimanapun, menyuarakan kekesalannya kerana tiada peruntukan bagi meningkatkan infrastruktur bekalan air bagi mengelakkan gangguan bekalan air atau catuan air semasa berlaku kemarau.

Sehubungan itu, FOMCA berharap kerajaan dapat menekankan kepentingan bagi meningkatkan prestasi dan infrastruktur sistem bekalan air pada masa hadapan seperti penukaran sistem perpaipan yang lama untuk menjamin rakyat mendapat bekalan air yang bersih dan selamat.

Dalam isu infrastruktur, FOMCA berharap suatu kertas strategik yang relevan dapat dibekalkan untuk syarikat konsensi air dan pengguna untuk dijadikan sebagai 'guideline' agar krisis air dapat diatasi segera.

Ia berikutan pembentangan bajet 2016 tidak menjelaskan status Blueprint Air Negara yang telah diperuntukan pada tahun lepas.

Perkara kelima yang dibangkitkan FOMCA adalah berkaitan Perkhidmatan Pembetungan.

FOMCA turut menjelaskan bajet kali ini tidak menyentuh sebarang peruntukan bagi sektor pembetungan seperti yang dilakukan pada bajet yang lepas.

Kerajaan dilihat perlu menitikberatkan penambahbaikan sistem pembetungan berbanding dengan hanya melepaskan batuk di tangga dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran.

Kerajaan turut digesa agar menambah baik loji pembetungan yang masih menggunakan sistem lama

FOMCA menyokong usaha kerajaan memberikan perhatian dalam pengurusan bencana alam selepas berlakunya banjir besar di Pantai Timur negara.

Penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM adalah diperlukan dengan kadar segera untuk mengurus hal-hal bencana alam termasuk menyediakan pendidikan awal kepada penduduk di kawasan yang berisiko tinggi dan perancangan kerja pemulihan dengan pihak kepentingan yang lain, kata FOMCA dalam kenyataan itu.

FOMCA turut berharap Projek Rancangan Tebatan Banjir dan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah dapat melibatkan semua pihak yang berkepentingan termasuk rakyat dalam penyampaian maklumat secara tepat dan cepat.

FOMCA turut berkata usaha kerajaan menyentuh soal telekomunikasi yang dilihat masih tidak mencapai tahap perkhidmatan terbaik.

Biarpun terdapat peruntukkan yang diumumkan namun kerajaan tidak menghuraikan lebih jelas soal kelajuan "megabite per second - mbps" pada pembentangan bajet 2016.

Kerajaan digesa agar mengkaji semula harga yang dibayar oleh pengguna bagi penggunaan telefon dan Internet tidak mencerminkan seperti apa yang diberi oleh syarikat telekomunikasi dan jalur lebar.

Perkara kelapan yang dibangkitkan adalah berkenaan Penjimatan Tenaga.

Kerajaan disaran agar melaksanakan pendidikan berterusan untuk memupuk penggunaan lestari di kalangan rakyat Malaysia terutama dalam tenaga dan pemuliharaan air dan ia perlu menjadi agenda negara, di mana rancangan, projek dan aktiviti perlu disokong kuat oleh kerajaan setiap tahun.

Ini adalah penting kerana dapat memulihara alam sekitar dan meringankan perbelanjaan pengguna terhadap keperluan asas.

Dalam sektor pendidikan pula Fomca menyatakan pembentangan bajet 2016 tidak mengambil kira caj yang dikenakan oleh institusi pendidikan yang masih terlalu tinggi.

Dan dalam isu ini FOMCA menggesa agar kerajaan melakukan sesuatu bagi mengurangkan caj di IPTS dan IPTA agar inistitusi terbait mengenakan harga yang berpatutan.

FOMCA turut menyebut terdapat pelbagai program yang dirangka untuk golongan belia dan pekerja muda dari aspek kepimpinan, latihan dan keusahawanan, namun FOMCA berpendapat, satu aspek kemahiran utama telah diabaikan dalam aspek pendidikan kewangan.

Pendidikan kewangan adalah kemahiran hidup yang kritikal, oleh itu kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada pendidikan kewangan serta memberikan peruntukan kewangan yang secukupnya untuk mengadakan sesi pendidikan kewangan kepada golongan terbabit.

Kerajaan juga dilihat perlu mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mendidik pekerja muda ke arah menjadi pekerja yang mempunyai kedudukan kewangan yang mantap dan stabil.