Tutup

Bangkai gajah pygmy: Hukuman lebih berat termasuk sebatan menanti pemburu

Bangkai gajah pygmy: Hukuman lebih berat termasuk sebatan menanti pemburu
Abdul Hamid (hadapan tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am Briged Sabah pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara sempena lawatan kerja beliau ke Batalion 14 PGA Tawau, 4 Nov, 2019. --fotoBERNAMA
TAWAU: Sabah terkenal dengan kekayaan flora dan fauna yang menjadi tarikan dalam sektor pelancongan.

Namun, dalam kekayaan itu, terdapat individu yang sentiasa berkeinginan mencuri khazanah hutan dan menganiaya haiwan terlindung bagi mendapatkan keuntungan secara haram.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador nyata amat terkilan dan sedih dengan kejadian terbaharu yang menyaksikan satu lagi bangkai gajah ditemui di Sungai Kinabatangan, dipercayai dibunuh pemburu haram.

Beliau berjanji akan memburu dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemburu-pemburu haiwan tersebut, meskipun ia melibatkan individu yang berstatus VVIP.
"Saya akan buru mereka. Saya akan minta anak buah saya buru dan saya telah keluarkan kenyataan sebelum ini bahawa kita tidak akan terhenti ke atas kes-kes melibatkan orang-orang atau individu-individu biasa.

"Tetapi juga, sekiranya terdapat bukti ada VVIP yang terlibat, yang sentiasa menggunakan kedudukan VVIP mereka itu untuk masuk, menceroboh dan mencuri, kita akan ambil tindakan," katanya.
BACA: Tapak kaki gajah pygmy dipotong, hanya 30 peratus bahagian badan ditemui 




Kepada semua yang bernafsu haiwan ini, berhati hati. Sebelum mereka tertangkap, lebih baik berhenti.


Bagi memberikan pelajaran kepada pemburu-pemburu haram ini, Abdul Hamid berkata beliau akan memohon kepada Jabatan Peguam Negara agar hukuman sebatan dikenakan kepada pelaku, selain denda RM500,000 yang dinaikkan kepada RM1 juta.

"Saya hendak hukuman mandatori sebatan ini dikenakan ke atas mereka. Jadi, ini dalam proses. Saya mendoakan supaya hasrat saya ini menjadi kenyataan.

"Mereka yang berlaku kejam kepada haiwan-haiwan ini akhirnya akan dikejami pula oleh rotan. Bagi dia rasa pula. Itulah hasrat saya, insyaAllah dalam masa terdekat. Saya akan berusaha meyakinkan pihak Jabatan Peguam Negara," tambahnya.

BACA: Menyedihkan... Bangkai ketiga gajah pygmy ditemukan di Kinabatangan

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan

BACA: Seekor lagi gajah Pygmy ditemui mati dengan kesan tembakan

Kepada semua pemburu haram yang masih aktif menjalankan kegiatan bagi mendapatkan keuntungan dan melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan menganiaya haiwan, berikut amaran Abdul Hamid:

"Nasihat saya kepada semua yang bernafsu haiwan ini tadi, berhati hati. Sebelum mereka tertangkap, lebih baik berhenti."


Mereka yang berlaku kejam kepada haiwan-haiwan ini akhirnya akan dikejami pula oleh rotan. Bagi dia rasa pula.


Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah mengerahkan unit Tiger Platoon untuk berada di barisan hadapan bagi membantu Jabatan Perhilitan memburu pemburu-pemburu haram tersebut.

Abdul Hamid berkata demikian kepada Astro AWANI di Tawau pada Isnin selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang.

BACA: Jho Low didakwa bedah wajah menyerupai beruang, berjalan macam seladang