Bapa kepada seorang pelajar mangsa buli kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas keluarga suspek sekiranya sesuatu perkara buruk berlaku terhadap anaknya susulan kejadian Ahad lalu.

Amir Ahmad, 47, berkata, tindakan empat pelajar berkenaan, kesemuanya ditahan reman pagi ini, adalah keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan serius terhadap anaknya, Muhammad Anas, 14.

Keadaan itu berkemungkinan akan menjejaskan masa depan anaknya, katanya sambil menambah, beliau akan membincangkan perkara itu bersama ahli keluarganya terlebih dahulu.

Bagaimanapun, buat masa ini, kata Amir, tumpuan penuh perlu diberikan kepada Muhammad Anas yang masih terlantar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Memang tak boleh terima. Bukan setakat saya satu keluarga saja tak boleh terima. Sebab, anak saya bukan kacau orang sangat. Mungkin salah faham, melawak, itu saja.

"Kenapa dibuat sampai begitu? Kalau setakat luka, jahitan, tak apa, saya boleh terima. Tetapi sampai pendarahan... Siapa pun tak boleh terima…

"Saya kena bincang dengan keluarga saya dulu apa yang perlu dibuat supaya perkara ini tidak berlaku kepada orang lain," katanya ketika ditemui di hospital itu.

Mengenai perkembangan Muhammad Anas, Amir berkata, anaknya hari ini masih belum sedarkan diri walaupun pembedahan membuang darah beku pada kepalanya telah dilakukan.

Sehingga kini, Anas masih dirawat di ICU di bawah pemantauan doktor pakar.

Selain pendarahan, terdapat keretakan pada tengkorak bahagian kanan kepala pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani itu.

Ia dipercayai akibat hentakan kuat yang dilakukan suspek.

Jelas Amir, anak ketiga dari lima beradik ini sangat aktif dalam sukan ragbi dan kriket di sekolah, malah disenangi rakan-rakan yang lain malah rajin menolong orang.

Pagi ini, Mahkamah Majistret Sungai Petani membenarkan tahanan reman ke atas empat suspek kejadian kes buli itu.