Bekas pengarah urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM36,000, dua tahun lalu.

Tindakannya dipercayai sebagai dorongan bagi mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang.

Bagi tuduhan pertama dia didakwa meminta suapan RM36,000 iaitu 10 peratus daripada hasil kutipan 'hutang lapuk Tekun Nasional'.

BACA: Bekas pengarah urusan Tekun ditahan kerana rasuah

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di antara 13 hingga 15 Januari 2015.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima wang tunai RM36,000 daripada Abdul Muhsin Abdul Rahmah sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan syarikat Pasadana Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan di lobi Kelab Shah Alam pada 15 Januari 2015, jam 9.30 malam.

Hakim Asmadi Hussin menetapkan perbicaraan kes itu selama lima hari bermula 13 Mac ini.