Bekas exco negeri Dr. Robia Kosai meninggal dunia

Bekas exco negeri Dr. Robia Kosai meninggal dunia
Allahyarham yang juga bekas anggota Parlimen Muar meninggal dunia akibat serangan jantung.
JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor Dr Robia Kosai meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur kira-kira 8.30 malam Sabtu.

Allahyarham yang juga bekas setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang serta anggota Parlimen Muar meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga anggota Parlimen Muar, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Muar bagi urusan pengebumian Ahad.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Parit Subari, Sungai Balang kira-kira 9.30 pagi, kata Razali yang juga Ketua Umno Bahagian Muar.

Allahyarham yang dilahirkan di dalam keluarga pejuang Umno menjadi anggota Parlimen Muar daripada 1999 hingga 2004, manakala daripada 2004 hingga 2013 selama tiga penggal menjadi anggota DUN Sungai Balang.