Lebih 50 bekas pekerja True Fitness Malaysia hari ini tampil di Jabatan Tenaga Kerja, Subang Jaya untuk memfailkan aduan selepas itu pusat kecergasan menutup operasinya di negara ini.

Ini ekoran pekerja-pekerja tersebut kecewa kerana didakwa tidak diberikan notis terlebih dahulu mengenai penutupan tersebut.

“Kami, bekas pekerja True Fitness Malaysia, kecewa dan sedih kerana cara tidak beretika syarikat ini. Kami ditinggalkan begitu sahaja dan kebanyakan daripada kami kini tiada kerja.

“Seperti rakyat Malaysia lain, kami mempunyai komitmen yang pertu ditunaikan dan apa yang berlaku sungguh tidak adil terhadap kami. Kami hanya diberitahu mengenai penutupan itu melalui satu pesanan mesej ringkas (SMS), di mana pihak pengurusan mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan kami dan berkata kami tidak perlu datang ke kerja lagi.

“Kami terkejut dilayan sebegini. Apa yang lagi mengejutkan ialah kami tidak diberi apa-apa pampasan kewangan yang perlu di bayar kepada kami mengikut undang-undang buruh Malaysia.

“Kami perlu membayar bil dan membekalkan makanan kepada keluarga kami seperti orang lain juga. Kami telah menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan penjelasan dan pampasan tetapi tidak mendapat respon,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media bersama.

BACA: True Fitness henti operasi di Malaysia

BACA: Henti operasi tanpa notis: Ahli-ahli True Fitness Malaysia terkejut dan marah

Pekerja-pekerja True Fitness yang terjejas itu turut bercadang untuk membuat laporan polis.

Pada 10 Jun, True Fitness dan True Spa Malaysia dilaporkan telah menamatkan operasinya di sini.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun, berkata penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.

Cubaan Astro AWANI untuk mendapatkan reaksi dari ibu pejabat True Fitness di Singapura sebelum ini gagal.