Masih ada rakyat yang cuba memandang ringan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan cuba merentasi sempadan negeri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, polis telah memeriksa 238,500 buah kenderaan di 146 sekatan jalan raya sempadan negeri, dan 508 pemandu kenderaan telah diarahkan patah balik kerana cuba pulang ke kampung.

Oleh kerana tahap pematuhan yang tidak begitu memuaskan, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan pihak berkuasa mengenakan kompaun terus kepada mereka yang melakukan kesalahan sedemikian.

“Semalam saja 508 kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan nak balik kampung telah diarah berpatah balik. Jadi saya nak ingatkan, sekatan jalan raya telah bermula dan tindakan telah diambil.

"Sejak semalam pihak berkuasa masih lagi mengguna budi bicara seperti memberi amaran dan nasihat. Tetapi mesyuarat hari ini, memutuskan bahawa tindakan kompaun boleh dimulakan oleh pihak polis. Jadi saya harap tak perlulah sampai tahap kompaun. Duit tu boleh guna perkara lain,” katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.


Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri berkata, seramai 72 individu telah ditahan atas kesalahan melanggar prosedur standard operasi (SOP).

Daripada jumlah berkenaan, 60 individu telah direman sementara 12 individu lagi dijamin.

Selain itu, beliau berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 33,168 buah kenderaan persendirian, 2,335 kenderaan awam dan 28 kenderaan air.

Turut diperiksa, katanya lagi, adalah 2,621 pasar awam, 4,209 tempat ibadah, 1,366 tempat riadah dan 365 tapak binaan.

“Sebanyak 3,332 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 18,770 anggota. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang di dapati tidak mematuhi SOP yang disediakan,” tegasnya lagi.