Tutup

Beri penjelasan segera imam yang dipecat

Beri penjelasan segera imam yang dipecat
Sebuah portal pada Khamis melaporkan 25 orang imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lepas.
KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Mufti negeri digesa memberi maklum balas terhadap pemecatan 25 imam masjid di negeri ini.

Setiausaha kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Aisha Mat Akhir, 62, berkata rata-rata imam yang dipecat termasuk di kariahnya iaitu di Guar Syed Alwi kerana dikaitkan dengan amalan Mazhab Syiah.
"Isu imam-imam ini menyebarkan fahaman politik adalah tidak benar kerana lebih 20 tahun, imam ini telah berkhidmat di masjid-masjid kami, mengajar anak-anak muda ini berkaitan soal fardhu ain dan fardhu kifayah," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas ratusan jemaah mengadakan demonstrasi aman di perkarangan masjid itu selepas solat Jumaat.
Mereka turut berhimpun secara aman dengan mengangkat sepanduk 'Tukar Mufti dan Pengarah Jabatan Agama Islam Bukan Tukar Imam' dan 'Pecat Imam Hanya Untuk Menuju Perlis Maju'.

Seorang anggota kariah, Zainol Abidin Ahmad, berkata anggota kariah masjid ini mencabar Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil memberikan penjelasan kenapa imam-imam berkenaan ditamatkan perkhidmatan mereka.

Menurut Zainol Abidin, 69, imam-imam ini tidak pernah menyebarkan dakyah politik atau gagal menjalankan tugas dengan baik seperti tidak menghadirkan diri ke masjid dan sudah berusia seperti dakwaan Mufti.

Sebuah portal semalam melaporkan 25 orang imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lepas.

Mohd Asri, bagaimanapun, tidak menyebut jumlah sebenar imam yang diberhenti atau ditukarkan tetapi berkata tindakan itu diambil kerana ada antara mereka tidak mampu membaca dengan sempurna ayat-ayat al-Quran dalam solat dan kemudian dikaitkan dengan masalah disiplin.

BACA: Perlis pecat 25 imam, tukar 10 lagi ke kariah lain

BACA: Ada tiga sebab 25 imam di Perlis ditamatkan jawatan

BACA: Penamatan khidmat imam di Perlis tidak libatkan kerajaan pusat - Mujahid

Ada juga imam yang tidak mematuhi kehendak tugas termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar selain menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.

Mohd Asri berkata ramai anak muda yang tamat pengajian tahfiz dan layak menjadi imam harus diberi peluang untuk mengisi kekosongan imam-imam yang diberhentikan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, sebanyak sembilan buah masjid di daerah itu mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat tetapi kesemuanya berjalan tanpa insiden tidak diingini.

-- BERNAMA


Tag: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Perlis, JAIPs, Mufti, imam, pecat, imam masjid, Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Aisha Mat Akhir



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.