Sebanyak 32 aduan telah diterima berkaitan perlanggaran Pilihan Raya Umum (PRU) di Sarawak terutama bagi kawasan paling panas iaitu Parlimen P196 Stampin.

Naib Presiden Bersih Sarawak, Ann Teo dalam sidang media khas hari ini bagaimanapun mengakui tiada berlaku sebarang unsur ganas sepanjang PRU berlangsung.

"Aduan (adalah) berkisar cubaan dan propaganda menabur kebencian dan isu perkauman menerusi kempen," katanya.

Selain itu, katanya, aduan aktiviti rasuah dan beli undi, aduan proses undi awal pos serta masalah berbangkit hari mengundi turut diterima.

"Malah, ada aduan calon anjur pesta jamuan yang sepatutnya tidak berlaku sepanjang kempen," katanya.

Ann turut menyelar penganjuran beberapa program kempen yang dilihat sebagai corak kempen tidak sihat selain dakwaan timbul perilaku berat sebelah agensi penguat kuasa pengelola PRU.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sanggup menutup sebelah mata terhadap kesalahan yang melanggar undang-undang negara ini.

"Malah, kita agak kecewa apabila pasukan pemantau dilantik SPR boleh terlepas pandang kesalahan yang berlaku ini," katanya.

Tambah Ann lagi, Bersih Sarawak mahu menyampaikan isyarat kepada SPR bahawa tugas memastikan proses pilihan raya di negara ini harus adil, saksama dan telus.

Kata beliau, pihaknya memanggil media hari ini untuk menghebahkan kehendak Bersih Sarawak yang mahu aduan ini disiasat.

Tambahnya, SPR harus menyiasat isu pembelian undi dengan melantik beberapa badan bebas seperti NGO untuk melaksanakan tugas lebih berhemah.

“Kami mahu kerajaan baharu menubuhkan satu Suruhanjaya Khas bagi mengubah sistem pilihan raya negara ini," kata Ann sambil menambah pihaknya sedia menawar kerjasama dengan SPR dengan membekalkan bukti pantauan yang mereka lakukan.

Katanya, walaupun Malaysia kini mempunyai kerajaan baharu, beliau tetap mengingatkan SPR supaya terus bersikap telus dan jujur pada masa akan datang.