Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan rumah perlindungan sementara untuk para gelandangan.

Menurut beliau, cadangan itu diberikan selepas mendapat perkenaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Rumah perlindungan sementara ini perlu disediakan dengan bersistem dan mempunyai kelengkapan asas yang mencukupi.

"Cadangan ini bukan sahaja disediakan di Johor Bahru tetapi juga di setiap daerah. Saya percaya dengan kajian yang lengkap, kerajaan negeri dapat merealisasikan projek ini," katanya menerusi Facebook rasminya, sebentar tadi.

Tunku Ismail juga memberi cadangan selain daripada menyediakan perlindungan, kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan inisiatif untuk memberi pekerjaan kepada golongan itu.

Baru-baru ini, putera sulung Sultan Johor itu turut berkenan mencemar duli berangkat menyertai Majlis Belia Negeri Johor untuk memberikan sumbangan bantuan kepada para gelandangan di sekitar Johor Bahru.

Gelandangan itu menerima sumbangan set barangan kelengkapan mandian, kelengkapan sanitari dan makanan.