BN boleh menang selesa? Jangan percaya 'reverse psychology' - Tok Mat

BN boleh menang selesa? Jangan percaya 'reverse psychology' - Tok Mat
Mohamad berharap supaya semua pengundi di DUN Rantau akan menjalankan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini. - Astro AWANI/SAHLIZAH MOHAMED
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap ‘cakap-cakap orang’ mendakwa beliau akan menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan satu 'reverse psychology' (psikologi terbalik).

Katanya, ia sekali gus bertujuan memberi gambaran pengundi luar tidak perlu balik ke kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Cara mereka, untuk menjejaskan peluang saya daripada orang balik dan mengundi saya.

"Banyak orang kata, BN akan menang besar. Saya harap kita jangan termakan dengan kempen-kempen yang mengatakan bahawa BN akan menang selesa.
“Setakat ini, saya masih katakan bahawa peluangnya masih lagi 50/50,” jelasnya.

BACA: Sarungkan keris pada logo UMNO - Tok Mat

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berharap supaya semua pengundi di DUN Rantau akan menjalankan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

“Khususnya kepada pengundi di luar DUN Rantau, walaupun jauh, saya harap supaya mereka balik menjalankan tanggungjawab untuk mengundi. Bagi peluang kepada saya,” jelasnya.

BACA: PRK Rantau: Ilham Centre jangka Mohamad Hasan akan menang

PRK DUN Rantau 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.