Tutup

Boikot Coca-Cola hanya merugikan pekerja tempatan - Pengurusan

Boikot Coca-Cola hanya merugikan pekerja tempatan - Pengurusan
Coca-Cola menolak dakwaan bahawa ia menyokong atau menentang apa-apa pendapat keagamaan atau cenderung menyokong mana-mana negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan memboikot Coca-Cola hanya akan menjejaskan pekerja tempatan, peniaga, pengedar dan pembekal produk itu di Malaysia.

Menurut Pengurus Coca-Cola Malaysia, Ahmed Yehia, tindakan boikot itu juga akan menjejaskan semua pihak yang bergantung kepada rantaian bekalan jenama itu di negara ini.
"Kami ingin tegaskan bahawa tatkala Coca-Cola diakui sebagai satu jenama global tetapi operasi pembungkusannya dilakukan di dalam negara, jadi pihak yang terjejas terus dengan tindakan boikot ini adalah pekerja tempatan," jelas Ahmad dalam satu kenyataan akhbar.

Ahmad memberi respons terhadap tindakan sesetengah pihak yang melancarkan boikot terhadap jenama itu, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
BACA: Boikot produk AS, Israel hanya satu retorik - Penganalisis

Katanya, Coca-Cola tidak menyokong atau menentang apa-apa pendapat keagamaan atau cenderung menyokong mana-mana negara.

"Sejarah Coca-Cola di Malaysia bermula sejak 81 tahun lalu dan kami mahu terus komited untuk berbakti kepada masyarakat setempat," tambahnya.

Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel minggu lalu.

Ia sekaligus menyebabkan protes anti-Israel dan anti-Amerika, terutamanya di negara-negara Islam.

Keputusan berkenaan turut dikutuk beberapa negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.