Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam afidavit yang dibuat oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer baru-baru ini.

Presiden AAS Ranbir Singh Sangha berkata RCI itu seharusnya hanya ditubuhkan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis melengkapkan siasatan mereka berhubung perkara itu.

"Bagi mengelak tanggapan berat sebelah, RCI itu tidak sepatutnya diketuai oleh seorang hakim yang telah bersara atau seorang anggota badan kehakiman, atau pegawai yang sedang bertugas atau pernah bertugas dengan Jabatan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

BACA: Badan kehakiman buat laporan polis berhubung dakwaan dalam afidavit

Ranbir berkata AAS memberi perhatian serius terhadap dakwaan dalam afidavit selain pengaturan masa afidavit itu yang boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman yang sedang dalam proses reformasi.

"AAS berpandangan bahawa terdapat ramai hakim yang berkeupayaan dan jujur, berkhidmat di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang reputasi dan moralnya sayangnya akan tercalar serta terhakis disebabkan insiden malang ini," katanya.

"Kami harap agensi penguatkuasa undang-undang yang berkaitan akan memulakan serta melengkapkan siasatan mereka dengan pantas supaya jika perlu, RCI boleh diarahkan bersidang oleh kerajaan," jelas beliau.

BACA: Jangan sampai kes seperti Kevin Morais itu berulang - Peguam

Ranbir berkata reformasi badan kehakiman yang sedang mengambil tempat dan berjalan sejak pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak "bukanlah bersifat kosmetik" memandangkan proses reformasi sedang dilaksanakan, misalnya kaedah pengundian hakim untuk mendengar kes.

"Selain itu, tiga badan peguam (AAS, Majlis Peguam dan Persatuan Undang-undang Sabah) kini dilibatkan dalam rundingan berkaitan pelantikan hakim baharu," katanya, dan menambah, banyak usaha ke arah reformasi telah dihebahkan kepada pemegang kepentingan dan oleh pihak media.

TONTON: Pertingkatkan tahap keselamatan Hakim Hamid Sultan Abu Becker

Mengenai dakwaan yang terkandung dalam afidavit itu, beliau berkata aduan seharusnya dibuat dan didengar oleh Jawatankuasa Etika Hakim yang termaktub di bawah Seksyen 5 Akta Jawatankuasa Hakim-hakim 2010 atau kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum lepas.

Afidavit 63 muka surat itu mendedahkan maklumat terperinci dan mengejutkan berhubung beberapa insiden campur tangan dalam badan kehakiman Malaysia, termasuk dakwaan campur tangan dalam keputusan rayuan kes di bawah Akta Hasutan bekas Pengerusi Kebangsaaan DAP mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA