Pesanan yang disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din begitu berharga sehingga mampu menjadi pedoman kepada generasi muda.

"Walaupun ideologi berbeza, cari titik persamaan dan bukan perbezaan dalam usaha menyatupadukan ummah," itu antara mesej yang sering disampaikan dalam siri kuliahnya.

Amanat itu dikongsikan anak sulung Allahyarham, Dr Huda Haron seiring dengan pengurniaan Anugerah Khas Maal Hijrah 1438H oleh Kerajaan Malaysia kepada bapanya.

"Sekiranya yang kita raikan itu adalah perbezaan, maka perbezaan yang kita dapat, tetapi kalau kita raikan persamaan maka persamaan inilah yang dapat membatnu persaudaraan yang lebih utuh.

"Sebab kita tidak mungkin dalam dunia ini, kita akan cari seorang yang sependapat dengan kita daripada kita hidup hingga kita mati. Perbezaan ideologi merupakan lumrah dan fitrah, cuma di mana usaha kita untuk menyatupadukan akhirnya menghasilkan sesuatu yang bermakna untuk ummah keseluruhannya," katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.


Beliau turut menyifatkan anugerah berkenaan amat bermakna bagi keluarganya.

"Selain bermakna bagi keluarga kami, anugerah ini juga cukup bermakna bagi kesemua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini. Oleh itu saya berterima kasih kepada kerajaan," katanya.

Allahyarham Haron dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah kali ini atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000 dan sijil penghargaan kepada Dr Huda pada majlis tersebut.

Allahyarham Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 September lepas akibat komplikasi jantung.