Malaysia telah melakukan usaha yang terbaik dalam usahanya menangani wabak COVID-19, kata Pengarah Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) rantau Asia Tenggara, Jean-Michel Piedagnel.

Jean mengakui beliau merasa gembira berada di negara ini dan melihat sendiri pendekatan yang diambil oleh kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani wabak COVID-19.

"Sebagai rakyat Perancis, saya gembira berada di negara ini kerana saya rasa cara negara ini menangani pandemik ini sangat baik biarpun terdapat sedikit kelemahan di sana sini.

"Saya rasa kita berada di tempat yang selamat di sini di Malaysia," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI Khas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Clinical Research Malaysia (CRM) Dr Akhmal Yusof turut mengakui bahawa Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik dalam usaha menangani wabak COVID-19.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan usaha yang terbaik dalam menangani COVID-19 ini dan jika kita mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan kita boleh kawal dengan lebih baik.

"Apa yang dilakukan oleh KKM membuktikan kita mempunyai perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik.

"Ia membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan kesihatan awam kita tidak boleh dipandang rendah," katanya.

Wabak COVID-19 kini telah meragut lebih 50 ribu nyawa di seluruh dunia dan jumlah yang dikesan positif wabak ini pula telah mencecah lebih 1 juta orang.