Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta rakyat agar terus patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya khuatir dengan tindakan sesetengah rakyat yang berdegil malah cuba merentas negeri boleh membawa kepada peningkatan kluster COVID-19 di negara ini.

"Kalau SOP tidak dipatuhi, kita mungkin jalankan penguatkuasaan. Tindakan semua agensi kerajaan menguatkuasakan kepatuhan SOP, perkara ini merisaukan dan membimbangkan KKM.

"KKM merayu setiap individu masyarakat agar patuh, pastikan SOP tersebut. Ini adalah untuk melindungi daripada jangkitan. Apa yang pasti kalau kita dapat jarakkan, kita tidak dijangkiti dan sentiasa sanitasi tangan dan pakai topeng menutup hidung dan mulut.

"Ini saranan KKM, penguatkuasaan kita bincangkan bersama dengan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang media harian di sini pada Ahad.

BACA: COVID-19: 22 kes positif baharu, tiada kematian - KKM

Ujarnya, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan bahawa masih ada rakyat yang enggan mematuhi peraturan ditetapkan.

"KKM menghargai usaha tindakan penguatkuasaan PDRM memastikan kepatuhan masyarakat PKPB ini terus tinggi. Ini penting orang ramai tidak salah gunakan kelonggaran yang telah diberikan kerajaan.

"Sebanyak 971 kes positif COVID-19 mempunyai sejarah merentas negeri, iaitu sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan juga adalah berkaitan dengan aktviti rentas negeri. Sehingga kini, 10 kluster tersebut masih aktif," tegas Dr Noor Hisham.

BACA: Kenderaan yang cuba 'curi-curi' balik kampung meningkat lebih sekali ganda

BACA: Jangan jadi penyebab anak anda dijangkiti virus COVID-19

Terdahulu, Ismail Sabri dalam satu sidang media harian memaklumkan, sebanyak 1,248 kenderaan diarahkan berpatah balik selepas didapati cuba melakukan rentas negeri meskipun tidak mendapat kebenaran.

Jumlah itu bertambah setiap hari, membuktikan masih ada rakyat yang enggan mengikut arahan dikeluarkan kerajaan meskipun ketika PKPB dilaksanakan.