Malaysia dijangka akan berdepan dengan cuaca lembap serta mengalami keadaan curahan hujan lebih tinggi sehingga penghujung Julai ini.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, fenomena itu berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dan tekanan rendah Monsun Barat Daya.

Katanya, situasi tersebut adalah di luar jangkaan kerana dalam tempoh ini, kebiasaan negara hanya mengalami suhu panas namun berdepan dengan kadar curahan hujan yang tinggi sehingga menyebabkan banjir.

"Dua fenomena penyumbang terjadinya cuaca lembab pada musim kering iaitu daripada MJO sehingga menyebabkan gangguan di Lautan Hindi.

"Selain itu, cuaca hari ini juga berdepan tekanan angin rendah sehingga mengganggu sistem Monsun Barat Daya menjadi lemah dan perolakan sekatan mudah berlaku di sekatan terutamanya di pantai barat pada sebelah petang," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Pada Ahad, kejadian banjir di 41 kawasan di lima daerah di Selangor menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediaman dinaiki air.

Dalam pada itu, Fredolin berkata, berdasarkan pusat ramalan cuaca di Amerika Syarikat juga menunjukkan dunia bakal berdepan dengan fenomena La Nina sehingga penghujung tahun ini.

"Sekarang ada tanda-tanda berlakunya fenomena La Nina yang menyumbang kepada penumpuan kelembapan yang tinggi.

"Ramalan jangka panjang dari Pusat Ramalan di Amerika Syarikat bagaimanapun menunjukkan kebarangkalian berlaku fenomena itu adalah masih rendah dan tidak jelas," katanya.