Pembalak haram di negeri ini menggunakan taktik baharu, iaitu menumbangkan pokok di tengah laluan bagi mengelakkan pasukan penguat kuasa merampas aset dan harta curi mereka.

Ketua Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Sallehuddin Mat Zaman yang mendedahkan taktik itu berkata, dalam operasi terbaharu tengah hari semalam yang turut disertai anggota Sarawak Forestry Corporation, pasukannya terpaksa melalui tiga halangan ini, yang menyerupai taktik gerila ketika era komunis.

"Kita percaya ia dilakukan oleh tonto-tonto yang diupah mereka (pembalak haram).

"Akibatnya, kita terpaksa membuang masa di antara dua ke tiga jam untuk membersihkan laluan, sebelum meneruskan perjalanan," katanya pada sidang media di atas Kapal Katamaran Polis Marin Wilayah 5 Sarawak di sini hari ini.

Pihak penguat kuasa terpaksa membuang masa di antara dua ke tiga jam untuk membersihkan laluan, sebelum meneruskan perjalanan. - Foto Astro AWANI / RUDI AFFENDI KHALIK
Kata Sallehuddin, pihaknya tidak patah semangat, apatah lagi maklumat yang diterima daripada orang awam dan risikan menggunakan dron mendapati balak-balak masih berada di lokasi yang hendak diserbu.

"Akhirnya, pasukan penguat kuasa tiba di lokasi logpond atau tasik balak di Nanga Maramah, Batang Balleh sekitar jam 12.15 tengah hari semalam, dan hasilnya, berjaya menyelamatkan 469 batang balak pelbagai jenis termasuk meranti, kapur dan jelutong.

"Siasatan awal kita mendapati, balak-balak-balak seberat 700 meter kubik ini ditebang secara haram, sebelum dipunggahkan ke dalam tasik balak tersebut.

" Kesemua kayu ini tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak dan nilai pasarannya dianggarkan sekitar RM535 ribu," katanya.

Kata Salehuddin lagi, tiada tangkapan atau rampasan aset dilakukan kerana pembalak-pembalak ini berjaya melepaskan diri.

"Bagaimanapun ia diiktiraf sebagai kejayaan rampasan balak terbesar oleh pasukan itu pada tahun ini dan membuktikan keberkesanan operasi yang diselenggarakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Kes yang disiasat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 1958 kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Sibu untuk tindakan lanjut.

Secara keseluruhan katanya, ini merupakan kes ke-29 kes pada tahun ini di bawah ordinan tersebut, menyamai jumlah yang sama untuk sepanjang tahun lalu.

"Daripada keseluruhan kes ini, pasukan kita telah menyelamatkan balak dengan nilai pasaran RM6.7 juta daripada dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya lagi.