Meskipun dapat mengukuhkan sokongan masyarakat Melayu Islam dengan kerjasama yang dijalin dengan Pas, namun UMNO tidak dapat mengetepikan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, UMNO tidak boleh berdiri sendiri kerana hampir separuh daripada kerusi di Parlimen terdiri daripada kerusi majoriti Cina atau kerusi campuran.

Dr Siva berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bersama MCA dan MIC yang mahu mencari gabungan yang baharu dalam program Komen Pagi.

BACA: MCA, MIC intai gabungan baharu
BACA: Kebiadapan Nazri Aziz antara punca kejatuhan BN - MCA


“Dalam konteks memperkukuhkan politik Melayu Islam, UMNO tidak boleh meminggirkan sokongan bukan Melayu, malah politik Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira dalam percaturan ini”.

Tambah Dr Siva, UMNO memerlukan dua jenis kerjasama yang berbeza, iaitu kerjasama dengan Pas untuk solidariti pembangkang yang kukuh dan juga kerjasama dengan rakan-rakan bukan Melayu.


“Walaupun terdapat desas-desus yang besar tentang kerjasama UMNO dan Pas, UMNO tidak boleh mengetepikan MIC dan MCA kerana faktor sejarah.”

“Cabaran terbesar sekarang ialah adakah mereka hanya mahu bergantung pada sejarah yang dicipta pada 1952, atau mahu mengubah sejarah itu, membentuk percaturan baharu dalam gabungan yang lebih besar.”

“Apa sahaja keputusannya nanti, sejauh mana ianya mampu memulihkan sokongan ahli dan juga sokongan umum. Bagaimana mahu menguruskan persepsi terhadap Barisan Nasional dan mampu menyaingi Pakatan Harapan

Namun begitu, Dr Siva percaya ‘ketegangan’ yang berlaku dalam Barisan Nasional ini bersifat sementara dan percaya BN dapat menyelesaikan masalah ini secara tertutup.

“Selaku Timbalan Presiden BN, kenyataan yang dilakukan Datuk Seri Mohamad Hassan yang mahu isu ini diselesaikan dalam semangat kekeluargaan itu sangat penting.”

“Politik cabar mencabar, politik untuk mengancam antara satu sama lain antara sebab Barisan Nasional terhakis sokongannya dalam pilihan raya yang lepas”.


BACA: Takkanlah saya hendak cakap isu rasis kalau... - Nazri Aziz