Kewujudan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) membuktikan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sedang dilanda masalah akauntabiliti yang begitu hebat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Ibdilillah Ishak berkata, isu Azmin bermula dengan masalah penstrukturan air dan DEIG pasti menimbulkan kecelaruan baru di dalam pentadbiran negeri.

"DEIG ini merupakan sebuah entiti pelaburan baru yang diletakkan dibawah seliaan Menteri Besar Incorporated (MBI). Kewujuduan DEIG ini merupakan ilham yang dipetik dari awangan oleh Azmin.

"Sudah tentu penubuhan entiti pelaburan baru ini akan menimbulkan lagi kecelaruan di dalam pentadbiran negeri. Kononnya untuk mengelakkan pertindihan organisasi. Dikatakan lagi berperanan sebagai badan pemegang hartanah dan amanah Kerajaan Negeri Selangor.

"Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya. Ini adalah kerana entiti pelaburan baru itu disorokkan dibawah MBI," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

DEIG itubuhkan dan didaftarkan melalui Akta Syarikat 1965. Melalui Akta Syarikat 1965, sesebuah entiti itu dibenarkan membuat pinjaman dan jika tadbir urusnya tidak baik, sudah tentu boleh membahayakan aset-aset kerajaan negeri Selangor.

Tegas Ibdilillah, penubuhan DEIG seolah-olah satu indikator yang jelas bahawa Kerajaan Negeri Selangor bakal berdepan dengan masalah urus tadbir.

"Bukankah Kerajaan Negeri diterajui PKR dan DAP merupakan "juara" isu ketelusan? Ia akan berhadapan isu ketidaktelusan dalam hal kewangan dan pelaburan memandangkan entiti tersebut (DEIG) bebas daripada diaudit.

"Tambahan pula entiti ini tidak punya apa-apa tanggungjawab langsung untuk melaporkan perkembangan entiti kepada Dewan Negeri dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor," jelasnya.

Katanya lagi, DEIG juga langsung tidak mempunyai mekanisme untuk memastikan agar perjanjian yang melibatkan entiti itu tidak berat sebelah.

"Kita lihat terutama dalam menguruskan nilai aset MBI yang berjumlah RM6.3 bilion. Penubuhan DEIG adalah tanpa sebarang enakmen yang tertentu.

"Penubuhan entiti itu juga turut mengejutkan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor BN. Ini adalah kerana tiada keperincian kandungan dokumen berhubung penubuhan DEIG," ujarnya.

Dari segi politik kata Ibdilillah, Azmin seolah-olah hilang kawalan dalam DUN selepas usul meminta Kerajaan Negeri meneliti semula penubuhan DEIG diluluskan.

"Jika dilihat secara tersiratnya, ia seakan-akan Azmin hilang sokongan dan tidak dipercayai majoriti ADUN Selangor ekoran sebilangan besar ADUN BN, PAS dan DAP yang menentang penubuhan Darul Ehsan Investment Group.

"Jika hasrat Azmin adalah untuk menstruktur semula anak-anak syarikat dibawah MBI, mengapa dia tidak memperkukuh dan memperjelaskan lagi MBI sendiri? Mengapa perlu mewujudkan satu entiti baru yang mempunyai fungsi yang sama seperti MBI?

"Kebimbangan utama sudah tentu kelompangan dan penyalahgunaan wang rakyat Selangor sekiranya DEIG gagal melakukan pelaburan yang dicanangkan," jelasnya.