Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairul Anuar Che Ramli, 33 tahun yang meninggal dunia akibat demam denggi.

Beliau berharap seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi wabak tersebut.

"Saya diberitahu bahawa ada seorang warga kerja Astro AWANI yang telah meninggal dunia akibat penyakit denggi baru baru ni dan saya ucapkan takziah kepada keluarga beliau," katanya.


Mula bekerja di Astro AWANI sejak 2006, Khairul Anuar yang turut mesra disapa panggilan Samson meninggalkan seorang isteri, Zamila Razeman, 27 dan anak lelaki berusia setahun.

Kami di Astro AWANI akan menjalankan kempen #CukupSetakatSamson bagi memerangi habis-habisan wabak denggi di negara ini.

Bagi menyatakan sokongan anda, sila klik like di www.facebook.com/CukupSetakatSamson.

Semalam, Dr Subramaniam berkata 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 18,047 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 4,250 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan peningkatan itu antara lain berpunca kurang kerjasama dalam memastikan kawasan bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata denggi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini, hanya dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing.