Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak pendawaraya Amerika Syarikat (AS) telah berjanji untuk membantu memulangkan wang yang dicaj oleh Goldman Sachs menerusi perjanjian dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas beliau, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkata proses tersebut akan mengambil sedikit masa termasuk meminta Malaysia menyatakan bukti bahawa wang tersebut adalah hak miliknya.

“Proses tersebut mengambil sedikit masa. Pada permulaan, kita kena buktikan bahawa wang tersebut adalah milik kita.

“Selepas itu, ada lagi beberapa proses yang perlu dilalui. Jadi ia akan ambil masa.

“Tetapi DOJ berjanji untuk memulangkan semula wang itu. DOJ kata sekitar AS$4.3 bilion,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama penutupan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2018 di sini hari ini.

Bank pelaburan AS itu kini berada dalam pengawasan selepas berperanan membantu mengumpul dana melalui penawaran bon untuk 1MDB, yang merupakan fokus siasatan melibatkan rasuah dan penggubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara.

DOJ sebelum ini memaklumkan bahawa sejumlah AS$4.5 bilion telah disalahguna oleh 1MDB, termasuk sejumlah wang yang dibantu oleh Goldman, para pegawai kanan serta rakan mereka sejak dari tahun 2009 hingga 2014.