Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pakatan Harapan (PH) akan diberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi membolehkan kerajaan terus bekerja untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan baharu mahu meneruskan kerja demi negara dan bukan untuk pemimpin-pemimpin dalam gabungan PH.

Justeru, katanya, melalui PRK itu, penduduk kawasan Parlimen Port Dickson diharap dapat memberi kemenangan kepada calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH, berkata barisan kepimpinan PH akan tetap bekerja untuk negara dan rakyat Malaysia yang telah memberi peluang kepada gabungan itu untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD Waterfront di sini, malam tadi.

BACA: 'Pada saat ini, hanya Tun Mahathir pemimpin terbaik, tadbir Malaysia' - Anwar

BACA: Bekerja untuk negara bukan untuk Anwar atau Dr Mahathir - Tun M

BACA: Pemimpin PH bersatu lupakan permusuhan lama hingga menang PRU14


PRK Parlimen Port Dickson akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas.

Calon Bebas terdiri daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi dan esok sebagai pengundian awal.

-- BERNAMA