Dua pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi milik mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti-bukti berkaitan kes.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Kedua-duanya dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Ayer Keroh untuk direman pagi Rabu bagi membantu siasatan.

Menurut sumber Astro AWANI, suspek yang merupakan bapa dan anak masing-masing memegang jawatan Pengurus Eksekutif serta Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan di syarikat tersebut dipercayai menyalahgunakan kuasa dan jawatan mereka dengan meluluskan dan memindahkan kira-kira RM4 juta wang milik MISDEC ke akaun peribadi milik mereka sepanjang tempoh 2014 sehingga 2015.

Kedua-duanya mereka ditahan di Melaka pada Selasa dan SPRM telah menyita hampir RM600 ribu dalam akaun syarikat tersebut.

Selain itu, pasukan penyiasat juga telah merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan perkakasan syarikat tersebut bernilai hampir RM350,000.

Menurut sumber lagi, MISDEC merupakan sebuah badan NGO yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.

Tambahnya, kementerian sumber manusia dan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM4.5 juta kepada NGO tersebut namun sehingga kini tidak ada sebarang latihan dilaksanakan.

Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek itu telah menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat bagi tujuan peribadi.