Dua pegawai Jabatan Imigresen negeri ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, Kangar, hari ini atas tuduhan membunuh warga Bangladesh pada Oktober 2014.

Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar ke atas Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian pendatang asing tanpa izin (PATI), Abu Bakar Siddiqe di bilik pantri Jabatan Imigresen, di sini, antara 10 hingga 11 malam pada 29 Oktober 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakiman mahkamah sedar semua intipati kes pendakwaan dan sudah menimbangkan pembelaan secara mendalam.

Ketika keputusan dijatuhkan, Mohd Aminuddin dan Zuhairul Effendy tidak menujukkan sebarang reaksi.

Ahli keluarga kedua-dua tertuduh serta rakan sekerja daripada Jabatan Imigresen yang hadir memberi sokongan di galeri awam mahkamah, menitiskan air mata sebaik sahaja mendengar keputusan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamatullah Baharudeen.

Pada 1 Oktober 2015, Mahkamah Tinggi Kangar memutuskan mereka tidak bersalah atas tuduhan itu. Bagaimanapun, pihak pendakwa raya membuat rayuan untuk membicarakan kes berkenaan semula.