Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memeterai perjanjian kerjasama dengan TM Net Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi penyiaran saluran sukan Astro.

Astro SuperSport HD (ASSP HD) dan Astro SuperSport 2 HD (ASSP 2 HD) akan disiar menerusi perkhidmatan Televisyen Protokol Internet TM, HyppTV mulai 1 Ogos 2013.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, perjanjian yang dimeterai memberi lebih pilihan kepada rakyat Malaysia menikmati kandungan tempatan dan antarabangsa.

Ia sekaligus menyokong pembangunan sukan Malaysia terutamanya dalam sukan bola sepak.

Menurut Ahmad Shabery,"Ia memberi pilihan kepada penonton kerana adakalanya sesuatu perlawanan tidak boleh ditayangkan secara serentak. Oleh itu ia memerlukan beberapa platform untuk tayangan seperti di televisyen dan televisyen protokol internet. Jadi, kerjasama seperti ini memberi pilihan yang bermakna kepada rakyat."

Kerjasama itu akan menyaksikan HyppTV membawa lebih banyak kandungan sukan, terutamanya untuk Liga Premier Inggeris Barclay (BPL) yang dinanti-nanti.Kedua-dua saluran berdefinisi tinggi itu terdapat dalam pek sukan hypptv menjadikan 13 saluran kesemuanya.

Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro berkata, “Kami berasa amat gembira kerana kandungan IP serta jenama kami iaitu ASSP HD dan ASSP 2 HD, serta usaha berterusan pihak kami dalam mempromosikan sukan tempatan menerusi penajaan seperti Astro Liga Super Malaysia, Astro Liga Premier Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia diberi pengiktirafan menerusi kerjasama bersama pihak TM”.

Astro kini menawarkan lebih 170 buah saluran yang mana 37 daripadanya adalah saluran dalam bentuk definisi tinggi (HD), 14 buah saluiran sukan seperti Astro SuperSport, Astro SuperSport 2, Astro SuperSport 3 dan Fox Sports dalam bentuk SD dan HD, Astro SuperSport 4, Fox Sports News, Euro Sports dan Astro Arena yang menawarkan liputan terbesar dan terperinci untuk program-program sukan tempatan dan antarabangsa secara langsung.