KUALA LUMPUR: Dua perusahaan bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM55,000 kepada Astro kerana menayangkan kandungan berhak cipta Astro kepada orang ramai di premis perniagaan tanpa kebenaran atau lesen Astro.

Pengendali kedai makanan di Kuala Lumpur dan pemilik hotel butik di Cameron Highlands bersetuju membayar ganti rugi tersebut selepas Astro memperoleh perintah mahkamah pada 17 dan 19 Januari lepas.

Selain membayar ganti rugi, kedua-dua perusahaan itu juga akan menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di media sosial dan Aku Janji untuk berhenti daripada melanggar hak cipta Astro.

Kedua-dua perusahaan itu juga bersetuju dengan langganan komersial Astro bernilai RM53,000 secara keseluruhannya.

Selain itu, Mahkamah Sesyen Ampang pada 16 Februari 2024 juta telah mendakwa dan mendenda seorang jurujual kerana menjual kotak TV Android yang dimuatkan dengan kandungan Astro tanpa kebenaran.

Tertuduh, Teh Wei Seng, 26, mengaku salah dan didenda RM12,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, pihaknya menyambut baik tindakan daripada pihak berkuasa untuk membanteras curi kandungan yang berleluasa sekarang.

“Astro sedang menghantar mesej tegas bahawa langkah tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan cetak rompak.

“Cetak rompak amat menjejaskan keupayaan kami untuk terus memberi perkhidmatan kepada peminat kandungan kami dan menghakis keupayaan kami untuk membuat pelaburan selanjutnya dalam kandungan premium untuk rakyat Malaysia,” katanya.