Empat penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) terpaksa dibatalkan awal pagi tadi berikutan keadaan jerebu yang teruk.

Pengurus LTSAH Puteh Ramli berkata, kesemua penerbangan itu melibatkan empat syarikat penerbangan iaitu AirAsia, Malaysia Airlines, Firefly dan Malindo Air, meliputi laluan Alor Setar ke Kuala Lumpur dan Subang.

Dua penerbangan pula dijadualkan semula melibatkan FireFly dan Malindo Air.

"Landasan telah ditutup pada pukul 7 pagi tadi dan dibuka semula pukul 11 pagi selepas jarak ketampakan kembali normal.

"Dianggarkan lebih 900 penumpang terjejas apabila penerbangan terpaksa dibatalkan dan dijadual semula tetapi keselamatan penumpang merupakan keutamaan kami ," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Alor Setar sehingga 2 petang tadi dikategori sangat tidak sihat iaitu 249 manakala Sungai Petani 246 dan Langkawi 252.