Tempoh peperiksaan yang masih berbaki beberapa bulan lagi tidak memberi sebarang keinsafan kepada seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila dia ditahan dalam Operasi Ponteng Sekolah pada Khamis.

Lebih malang lagi, murid yang ditahan dalam operasi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang di kafe siber itu turut didapati telah enam bulan tidak hadir ke sekolah.

Murid yang dikatakan berdepan dengan masalah disiplin dan pembelajaran itu merupakan antara tiga murid sekolah rendah dan tiga pelajar sekolah menengah yang ditahan, yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Skuad SRS, KRT Teluk Ketapang, Zainuddin Awang berkata, operasi itu dilaksanakan selepas mendapat banyak aduan daripada pelbagai pihak berhubung kes ponteng sekolah.

"Semua pelajar yang ditahan kemudian dirujuk kepada pihak sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang kita lakukan ini bertujuan untuk memperkasakan peranan SRS dan dan dalam masa yang sama membendung sebarang kegiatan tidak bermoral melibatkan masyarakat.

"Malah, kita juga ingin meminta agar pihak sekolah untuk memberi kerjasama kepada pihak kami dalam usaha untuk mengekang masalah gejala sosial melibatkan pelajar," katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Menurut Zainuddin, operasi di bawah program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (Face) kendalian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu itu dibuat untuk mencapai indeks keluarga sejahtera.

Tambahnya lagi, operasi sedemikian akan dijalankan secara lebih kerap sehingga aktiviti ponteng dalam kalangan pelajar sekolah diatasi sepenuhnya.

"Masyarakat juga diharap memberi kerjasama dengan memaklumkan dengan kadar segera kepada pihak kami atau pemimpin penduduk jika didapati kawasan mereka menjadi tempat pelajar ponteng,"katanya.