Polis Pulau Pinang menahan enam individu yang dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah rumah dan membeli barangan curi yang aktif di sekitar daerah Timur Laut.

Suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita itu ditahan selepas polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, George Town.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis daripada seorang pemilik kedai telefon bimbit berusia 30-an pada 23 November lalu.

Pengadu mendapati pintu kedainya yang terletak di Padang Brown dipecah masuk manakala beberapa barangan termasuk 103 unit telefon bimbit, termasuk alat ganti telefon, komputer riba turut hilang.

Berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan polis mengesan lima individu termasuk dua wanita di sebuah pusat hiburan, di George Town.

“Kita percaya kita telah menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah rumah dan pecah kedai di sekitar kawasan Air Itam, Jelutong, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Tanjong Tokong pada tahun 2015 dan salah seorang kita tangkap itu merupakan pembeli kepada sindiket pecah rumah,” kata Mior.

Hasil siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pecah rumah manakala seorang lagi suspek memiliki rekod kesalahan berkaitan dadah.

Keenam-enam suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun kini direman selama enam hari bermula 27 November lalu bagi membantu siasatan di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan denda.