Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan warga emas supaya sentiasa melibatkan diri dalam penuaan aktif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, selari dengan saranan tersebut, usaha yang dilakukan termasuklah menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 88 buah PAWE telah ditubuhkan dan telah memberi manfaat kepada 36,931 warga emas yang berdaftar.

“Terdapat juga berbagai-bagai inisiatif lain kerajaan bagi memastikan kebajikan warga emas sentiasa terpelihara di bawah Kementerian berkaitan sosial lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan sebagainya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon; dan Pengarah MyAgeing™, Professor Datuk Dr. Tengku Aizan Hamid.

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, isu penuaan merupakan isu sejagat dan merentasi pelbagai kementerian.

Justeru itu jelasnya, tanggungjawab menanggani isu-isu berkaitan perlu didokong semua pihak.

“Usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas sewajarnya disokong masyarakat dengan mengubah pandangan terhadap warga emas yang dianggap sebagai beban, kepada warga emas aktif dan produktif.

“Usaha bersepadu dan menyeluruh dari semua pihak sangat diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal (no one is left behind),” ujarnya.

Mengikut unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.



“Ketika itu, populasi negara dijangka mencapai 38.1 juta orang yang mana 5.8 juta daripadanya merupakan warga emas,” katanya.