Pertubuhan Gerakan Anti Rasuah Negara (Gegar) pada Rabu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku penyelewengan peruntukan kerajaan terdahulu membabitkan MIMOS Berhad (MIMOS).

Pengerusinya Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa pihaknya mengesan terdapat penyelewengan dana kerajaan dalam syarikat teknologi tempatan itu dalam laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara pada Julai tahun lepas.

Gegar menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap MIMOS termasuk individu dalam syarikat terbabit yang terlibat menguruskan perbelanjaan peruntukan kerajaan tersebut, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di pejabat SPRM Selangor di sini.