Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter yang melanda Pulau Lombok pagi tadi telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa setakat ini.

Seramai 162 orang turut tercedera dalam kejadian yang memusnahkan ribuan rumah penduduk setempat.

Sekumpulan rakyat Malaysia antara mangsa yang terkandas di Senggigi, Lombok Utara susulan gempa bumi tersebut.

Seorang daripada mereka, hanya dikenali sebagai Siti Hidayah, berkata kumpulannya yang dianggotai 19 orang merancang untuk memulakan misi pendakian ke Gunung Berapi Rinjani di Lombok Timur pada sekitar 7 pagi tadi.

Ketika dihubungi Astro AWANI, dia berkata hasrat mereka untuk memulakan misi tidak kesampaian apabila gempa bumi tersebut berlaku.

"Kami makan sarapan pada 6.30 pagi. Pada pukul 7 pagi, kita merancang keluar rumah untuk letak dan uruskan barang-barang. Masa itu, gempa bumi pertama melanda. Oleh itu, kami tidak sempat memulakan misi kita ke Gunung Rinjani," katanya.

Tambahnya, kesemua anggota kumpulannya terselamat dan tiada yang cedera.

Mereka yang sebelum ini menginap di rumah tumpangan di Senaru, Lombok Utara kini ditempatkan di rumah perlindungan di Senggigi.

BACA: Gempa Lombok: Allahyarham Siti Nur dihempap tembok runtuh - Rakan

BACA: Allahyarhamah Siti Nur Ismawida seorang pejuang belia - MBM

"Kami tidak tinggal di rumah perlindungan apabila kami sampai. Kami tinggal di rumah penginapan di Senaru.

"Selepas gempa bumi yang sangat kuat melanda, sekitar jam 10.30 pagi, penduduk tempatan berkata gempa bumi yang lagi kuat akan berlaku.

"Mereka membina tempat perlindungan dalam bentuk khemah untuk kami. Sekitar 4 atau 5 petang, penganjur kami memindahkan kami keluar dari Senaru menggunakan tiga kereta," jelasnya.

Mereka berharap dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.

BACA: 10 terkorban, 40 cedera gempa bumi kuat di Pulau Lombok

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat adalah destinasi popular pelancong dan pendaki dari serata dunia.

Gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu, dengan ketinggian 3,726 meter, adalah sebahagian daripada Taman Nasional Gunung Rinjani seluas 41,330 hektar yang popular dengan keindahan semulajadinya.

Gempa bumi pagi tadi menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada jam 5.47 pagi dan menyebabkan penduduk setempat berlari bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa tersebut berpusat 28km barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10km.

Menurut BMKG, berlaku 31 gegaran susulan yang berukuran bawah 5 pada skala Richter selepas gempa pertama dicatatkan.