Tutup

Gempa Lombok: Jenazah Siti Nur Ismawida dijangka tiba di Malaysia esok

Gempa Lombok: Jenazah Siti Nur Ismawida dijangka tiba di Malaysia esok
Jenazah Siti Nur Ismawida kini dilaporkan berada di Mataram, Indonesia sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia.
KUALA LUMPUR: Jenazah warga Malaysia, Siti Nur Ismawida dijangka tiba ke tanah air esok, menurut bapanya, Ismail Abd Raffar ketika ditemui Astro AWANI hari ini.

"Berkemungkinan esok tengah hari atau petang," katanya ringkas.

Tambah kakak mangsa, Siti Nurhanez Ismail, jenazah tidak dapat dibawa pulang hari ini kerana proses kertas kerja.

"Suami saya dan suami arwah kini berada di Lombok. Menurut suami, hari ini memang untuk proses kertas kerja, tidak boleh bawa jenazah pulang hari ini.
"Esok jam 9 pagi, berkemungkinan jenazah akan dibawa ke Jakarta dan dari sana baru pulang ke Malaysia," katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Desa Pandan.


BACA: Allahyarhamah Siti Nur Ismawida seorang pejuang belia - MBM
BACA: 
Gempa Lombok: Allahyarham Siti Nur dihempap tembok runtuh - Rakan

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter yang melanda Pulau Lombok pada Ahad tadi telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa setakat ini.

Seramai 162 orang turut tercedera dalam kejadian yang memusnahkan ribuan rumah penduduk setempat.

Sekumpulan rakyat Malaysia antara mangsa yang terkandas di Senggigi, Lombok Utara susulan gempa bumi tersebut.