Seorang guru lelaki patah hidung dan luka mata kiri selepas ditumbuk gara-gara pokok yang ditebang menimpa pagar suspek di kebun kelapa sawit Jalan Lela Segara, di Kampung Raja, dekat sini, semalam.

Guru berusia 55 tahun dari Kampung Paya Rawa itu ditumbuk suspek dikenalinya dalam kejadian di kebun sawit berkenaan kira-kira jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di kebunnya selepas didatangi suspek.

“Suspek yang menghampiri mangsa bertindak menumbuk mangsa sebelum kekecohan yang berlaku dihalang isteri mangsa yang turut berada di tempat kejadian.

“Suspek dipercayai berusia lingkungan 60an menumbuk mangsa kerana tidak berpuas hati berikutan pagarnya rosak akibat ditimpa pokok,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, suspek mengupah seorang lelaki menebang pokok namun pokok yang tumbang itu terkena pagar suspek yang berada berhampiran kebun mangsa.

“Kemudian mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Besut dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah tulang hidung dan luka bahagian mata kiri dan kemudian mangsa membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan, polis sedang mengesan suspek yang sudah dikenal pasti namun usaha mengesan masih gagal setakat ini. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah,” katanya.