Tutup

Had umur belia: Johor buat pusingan U sekali lagi, terima nasihat 'beberapa pihak'

Had umur belia: Johor buat pusingan U sekali lagi, terima nasihat 'beberapa pihak'
SHEIKH UMAR: Dalam menuju ke arah pewartaan RUU 668 tersebut pada 2021, kerajaan negeri akan terus mengkaji bagi mengenalpasti kesesuaian perlaksanaan ini di negeri Johor. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kurang 12 jam selepas membuat pusingan U untuk menerima pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, kerajaan Johor mengumumkan mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Exco Belia dan Sukan Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dalam kenyataan medianya malam ini berkata, keputusan terbaru itu dibuat selepas "perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak".
“Selepas perbincangan lanjut dan atas nasihat beberapa pihak, kerajaan negeri akan memperhalusi semula implikasi berkaitan pindaan rang undang-undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang telah diumumkan.

“Justeru, kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun seperti yang diumumkan terdahulu oleh Menteri Besar Johor semalam sehinggalah akta ini diwartakan pada 2021 nanti,” katanya dalam kenyataan.
BACA: Had umur belia, Johor buat pusingan U

Jelas Sheikh Umar, ia bertujuan memastikan tempoh masa persediaan yang mencukupi agar ia dapat dibuat dengan lebih teliti dan berhati-hati.

“Dalam menuju ke arah pewartaan RUU 668 tersebut pada 2021, kerajaan negeri akan terus mengkaji bagi mengenalpasti kesesuaian perlaksanaan ini di negeri Johor.

“Tempoh persediaan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi yang panjang dan penuh berliku yang harus dihadapi oleh semua pihak,” katanya.

BACA: Belia kini berumur 15 hingga 30 tahun

VIDEO: Umur belia Johor kekal 15-40 tahun: Dr Sahruddin