Pendaki wanita, Norfatin Sulaiman, 29, yang dilapor sesat di Gunung Irau, Cameron Highlands pada Sabtu hanya bertahan dengan berbekalkan coklat yang dibawa bersamanya ketika melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Haziq Hazmi memaklumkan mangsa berjaya dibawa keluar sekitar 10 malam tadi selepas lebih 44 jam sesat dan telah dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, mangsa tersasar dari trek apabila terjatuh dari cerun beberapa meter selepas CP (check point) Pisang.

"Ketika menuruni trek Gunung Irau, mangsa terjatuh daripada cerun yang agak curam kira-kira 70 darjah dan terkeluar daripada trek. Mangsa tidak mampu menaiki semula cerun berkenaan lalu meneruskan perjalanan menuruni trek dengan harapan menjumpai anak sungai atau perkampungan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Pendaki sesat di Gunung Irau ditemui selamat

BACA: Lebih 40 jam sesat di Gunung Irau, pencarian pendaki wanita diteruskan

Mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan letih namun selamat dan tiada kecederaan teruk.

"Apabila ditemui mangsa hanya kelihatan letih dan kakinya sedikit bengkak dan berair kerana telah lama memakai kasut. Selain daripada itu, mangsa dalam keadaan sihat. Dalam tempoh dua hari dalam hutan, mangsa bertahan dengan memakan coklat dan minum air sungai," katanya.

Menceritakan semula detik menemui mangsa, Haziq memaklumkan pihaknya telah mengesan tapak kaki di kira-kira 200 meter dari sebelah kiri trek Mossy Forest dan mengikuti petanda berkenaan.

"Mula-mula kami nampak ada kesan tapak dan kami teruskan perjalanan mengikut tapak berkenaan dan menjumpai poncho (baju hujan). Justeru kami terus memanggil nama mangsa. Tiba-tiba mangsa menyahut dan meminta tolong. Lalu, kami segera ke arah mangsa yang ditemui di bawah bukit berhampiran air terjun," katanya.

Pada Sabtu, mangsa yang juga kakitangan sebuah syarikat minyak dan gas di ibu negara bersama 47 pendaki lain menuruni trek Gunung Irau.

Separuh perjalanan, rakan mangsa menyedari bahawa mangsa tidak bersama dalam kumpulan.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada 12.15 malam kelmarin melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perhutanan Daerah serta sukarelawan Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (MOSARS).