Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat Malaysia dapat menerima kehadiran pelarian Syria yang akan ditempatkan serta diberi pekerjaan sementara di negara ini.

Menurutnya, mereka akan memulakan kehidupan baru sementara di negara ini sebelum pulang ke negara asal mereka.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kemasukan kedua bagi pelarian Syria ke Malaysia sedang diuruskan dengan kerjasama pihak Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, pengambilan rakyat Syria ke negara ini ditapis bagi menjaga keselamatan negara.

"Kemasukan mereka sedang diuruskan dan kerajaan bekerjasama dengan pihak UNHCR untuk bersama-sama bagi menentukan pelarian yang boleh masuk ke negara ini melalui 'Advanced Passenger Screening System' (APSS) sebagai langkah proaktif menghalang kemasukan penjenayah rakyat asing ke negara ini," katanya pada sidang media pelancaran 'Mini Mad Velocifero Malaysia' di Extreme Park, di sini, hari ini.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan akan menyediakan penempatan sementara bagi 3,000 pelarian Syria di negara ini berikutan krisis yang melanda negara itu.

Setakat ini, lima keluarga pelarian Syria telah berada di Malaysia.