Seorang ibu dan anak lelakinya yang berusia lapan tahun ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat didiami mereka di Taman Bosoi, Perumahan Kalang Tenom, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mayat mangsa Wong Siu Mei, 46, dan anaknya, Wong Ka Seng, 8, ditemui di bilik tidur tingkat atas rumah berkenaan oleh sepasukan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.35 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi memadam dan menyelamat.

Beliau menjelaskan, dua jentera dengan kekuatan enam anggota BBP Tenom dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar dan dua beranak dilaporkan rentung.

“Mereka terperangkap di rumah yang dipasang dengan jeriji besi penuh dan suami mangsa Wong Vun Tsung, 38, turut mengalami kecederaan akibat melecur 27 peratus di bahagian badan, " katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini, hari ini.

Katanya, Tsung yang dipercayai tiada di rumah dan pulang cuba menyelamatkan keluarganya selepas menerima panggilan daripada isterinya.

Kebakaran berjaya dikawal jam 3.10 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 5.15 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian susulan kebakaran itu masih dalam siasatan.