Sebuah tapak besi yang dimuatkan ke atas sebuah treler jatuh di lebuh raya KL Seremban berhampiran Plaza Tol SMART menghala ke Desa Petaling.

Muatan tapak besi yang jatuh pada pukul 11 pagi itu dianggarkan seberat dua tan dan bersaiz (10 x 20 kaki) telah menghalang laluan dari arah lapangan terbang lama TUDM menuju Seremban.

Menurut kenyataan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya,
pemandu treler yang berusia 37 tahun itu dipercayai membawa muatan yang tidak diikat dengan kemas sehingga menyebabkan kesemua muatannya jatuh berhampiran susur lebuh raya Salak Selatan.

"Apabila tiba berhampiran susur lebuh raya Salak Selatan, muatan tersebut jatuh ke bahagian kiri jalan akibat ikatan muatan besi itu tidak kemas" kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan, bagaimanapun pihaknya telah mengenakan saman terhadap pemandu atas kesalahan membawa muatan tidak kemas.

Memetik kenyataan Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) DBKL menerusi laman Twitter, trafik kembali lancar pada pukul 1.30 petang sebaik kerja pengalihan dilakukan atas bantuan kren Tadano dan semua muatan berjaya dinaikkan semula ke atas treler.