Bangun awal dan kerja keras untuk tingkat produktiviti.

Demikian seruan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, bukan kepada masyarakat berbangsa Cina sahaja, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ia sebagai mengikut resmi ayam yang menjadi haiwan zodiak Tahun Baru Cina kali ini.

Kata beliau, sifat-sifat positif yang dimiliki haiwan tersebut perlu diikuti sebagai panduan supaya lebih bersemangat dalam melipatgandakan usaha bagi bersama-sama merealisasikan matlamat negara.

“Kita tahu ayam ini bangun awal dan berkokok, oleh itu saya rasa semangat ayam berkokok pagi dan bangun awal ini boleh menjadi satu amalan untuk kita bekerja kuat dan sama-sama meningkatkan produktiviti.

“Apabila negara sedang menjalankan proses transformasi yang penting, kita perlu terus bersemangat dan fokus kepada usaha meningkatkan produktiviti negara kita,” katanya kepada media di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Kata Liow, menjadi kebiasaan untuk rakyat Malaysia meraikan setiap perayaan di negara ini dengan penuh meriah tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Liow dan isteri Datin Seri Lee Sun Loo bersama ahli majlis tertinggi MCA serta beberapa menteri Kabinet menyambut kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Selain itu, menurutnya, kesempatan berkumpul dan bersama dalam majlis perayaan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menambah erat hubungan silaturahim yang telah terbentuk.

Jelasnya, tidak ada negara lain di dunia yang mampu menandingi Malaysia daripada aspek meraikan kepelbagaian yang ada dan identiti serta kekuatan negara perlu terus dikekalkan.

“Yang penting dalam Tahun Baru Cina ini kita sama-sama tingkatkan iltizam dan semangat kita untuk terus bekerja keras bagi menghadapi cabaran pada tahun ini.

“Oleh itu, sempena tahun ayam api ini, satu tahun yang penting bagi kita untuk hadapi cabaran masa depan, untuk kita bangunkan negara kita berterusan.

Untuk itu, saya harap tahun ini tahun yang membawa rezeki kepada Malaysia,” ujarnya.

Beliau dan isteri Datin Seri Lee Sun Loo bersama ahli majlis tertinggi MCA serta beberapa menteri Kabinet menyambut kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyempurnakan majlis rumah terbuka itu yang turut dimeriahkan dengan kehadiran warga kota.

Tahun Baru Cina 2017 menyaksikan peralihan daripada monyet berunsur api kepada ayam berunsur api, haiwan kesepuluh daripada keseluruhan kitaran 12 haiwan zodiak dalam kalendar Cina.

Ayam api dikatakan membawa sifat positif, antaranya berani, ghairah, pandai, setia rajin, teliti dan kemas.