Polis hari ini mendedahkan imej suspek kedua dalam kejadian menembak polis di Taman Lembah Maju

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mendedahkan imej suspek kedua dalam kejadian menembak polis di Taman Lembah Maju, Pandan Indah pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad memberitahu bahawa imej suspek kedua itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di lorong belakang beberapa kedai di sekitar Taman Lembah Maju.

"Suspek dipercayai berusia awal 30an dan berkulit cerah dan ketika gambarnya itu dirakam, suspek dipercayai sedang melarikan diri sejurus selepas rakannya yang juga suspek utama dalam kes insiden tersebut melepaskan tiga das tembakan kepada dua anggota polis," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi tadi.

Sehingga kini, polis telah mengambil keterangan sebanyak tiga orang saksi yang melihat kejadian tersebut.

"Disamping itu juga, pistol yang digunakan oleh suspek utama ketika menembak polis itu dipercayai dari jenis pistol .38 dan hasil dari pemeriksaan dan semakan kami terhadap kesan cap jari yang terdapat pada motosikal dan topi keledar yang digunakan suspek, terdapat 13 kesan cap jari yang cukup sifat namun semakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis, tiada ditemui identiti suspek tersebut," katanya lagi.

Selain itu juga motosikal yang digunakan itu juga menggunakan nombor plat milik sebuah kereta dan motosikal tersebut dilaporkan hilang di Setapak pada tahun lalu.

Polis masih menggiatkan lagi gerakan mengesan suspek meskipun dipercayai suspek mungkin telah melarikan diri ke ibu kota.

"Kita percaya kedua-dua suspek adalah ahli kongsi gelap dan gerakan besar-besaran mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan," katanya ACP Khairuldin.

Dalam perkembangan yang sama juga, keadaan Lans Koperal Lional Richard Jr yang ditembak di perut dalam kejadian itu kini dalam keadaan baik apabila pembedahan mengeluarkan peluru yang berada dalam perutnya itu berjaya dikeluarkan dalam satu pembedahan di Hospital Ampang beberapa hari lalu dan dia dijangka akan keluar dari hospital pada petang ini.

Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau insiden tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Suhairon Abdullah di 019-9796999 atau ASP S.Ramasani di 03-9274222.