Ini fakta yang anda perlu tahu mengenai pembabitan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan AirAsia X dalam skandal syarikat pembuat pesawat Perancis, Airbus SE:

1) Pada 31 Januari, 2020, mahkamah Crown Court di Southwark melalui alasan penghakimannya, mengarahkan Airbus SE untuk membayar sejumlah €990,963,712 (RM5.3 bilion) termasuk kos sebagai Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) kepada Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom, kerana terlibat dalam rasuah di peringkat global.

2) Menerusi penghakiman itu, Airasia dan AirAsia X telah dinamakan sebagai syarikat yang menerima rasuah berupa tajaan, melalui Eksekutif 1, dan Eksekutif 2, ke atas sebuah pasukan kereta lumba daripada Airbus SE.

3) Dalam kenyataan yang mengandungi alasan penghakiman itu, jumlah rasuah yang diterima AirAsia dan AirAsia X untuk tajaan satu pasukan milik mereka, seperti mana disebut dalam alasan penghakiman itu ialah sebanyak AS$50 juta (RM206 juta).

Namun, tawaran tambahan AS$55 juta (RM226 juta) oleh pegawai senior Airbus SE, telah dihalang Airbus SE melalui langkah pembekuan ke atas akaun rakan kongsi mereka (SMO International).

4) Jumlah rasuah yang disebut dalam dakwaan melibatkan syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu, merupakan tertinggi, berbanding syarikat dan negara lain.

5) Pada 1 Februari, 2020, AirAsia melalui satu kenyataan rasmi telah menafikan ia terlibat dalam apa jua cara sekalipun dengan siasatan yang dilakukan pihak SFO.

BACA: AirAsia nafi dakwaan salah laku babitkan Airbus


6) Pada 3 Februari, 2020, dua pengasas AirAsia dan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun menafikan pembabitan mereka dalam sebarang skandal yang melibatkan Airbus SE.

7) Bagi membantu siasatan, mereka telah melepaskan jawatan eksekutif dalam syarikat berkenaan selama dua bulan, atau mana-mana tempoh yang dirasakan sesuai oleh Lembaga Pengarah.

BACA: Nafi tuduhan rasuah, Tony Fernandes lepaskan jawatan CEO!

BACA: Mavcom siasat AirAsia, AirAsia X

BACA: Suruhanjaya Sekuriti teliti dakwaan terhadap AirAsia dan AirAsia X


8) Pada 4 Februari, 2020, kedua-dua mereka menafikan bekas pasukan Formula 1 Caterham mempunyai sebarang kaitan dengan tuduhan rasuah yang membabitkan syarikat penerbangan itu dengan pembekalnya, Airbus SE.