Penentuan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau tidak, hanya tertakluk kepada beberapa faktor yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, sebelum melihat kepada keputusan penamatan PKP, kementerian itu perlu mempunyai strategi keluar terlebih dahulu.

“Jadi apa yang penting, sebelum kita melihat kepada penamatan PKP, kita mesti ada ‘exit strategy’ dan antara indikator ialah pengurangan kes yang masih dirawat kebolehjangkjitan kes.

“Sekarang ini, kita ada 2,198 kes tetapi sekiranya kes ini berkurangan, maksudnya kita ada pengurangan kes jangkitan di komuniti iaitu daripada satu individu kepada seorang lagi individu," menurut Dr Noor Hisham.

Selain itu, beliau menambah bahawa faktor kedua ialah dengan menggunakan kaedah pengawasan yang mana sudah dilaksanakan sejak Januari bagi mengesan kes secara harian.

“Daripada bulan Januari itu kita melihat kepada kes-kes jangkitan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di dalam komuniti.

“Apabila kes sekarang ini kita ada 114 kes dan kalau lihat dalam saringan kita, ataupun pemantauan kita kes-kes sehari semakin berkurangan, jadi itu mungkin salah satu indikasi yang lain untuk kita menasihatkan kepada Majlis Keselamatan Negara bagi menamatkan PKP,” katanya lagi.

Selain itu, Dr Noor Hisham memberitahu bahawa adalah penting jika dapat melihat kepada kawasan-kawasan tertentu dan kepadatan sesuatu kawasan tersebut sama ada wujud ataupun tidak jangkitan atau kluster baharu di kawasan tersebut.

“Mungkin ada satu kes yang boleh dikesan, tapi yang lebih penting ia tak menjadi satu kluster yang besar.

"Jadi untuk itu tindakan kita ialah pengesanan kes secara aktif (ACD) itu perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Bagaimanapun, jelasnya indikator yang paling penting ialah keupayaan makmal kesihatan sama ada makmal dapat mengesan kes dengan cepat dan tepat.

“Seterusnya ialah keupayaan hospital kita supaya kita dapat menampung jumlah pesakit. Kalau ada pesakit datang ke hospital, kita dapat memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit kita.

“Setakat ini kes yang dimasukkan ke hopital dan walaupun bergejala ringan, kita masukkan mereka kepada hospital dan pantau.

“Dan jika mereka yang ada gejala lebih atau mempunyai masalah radang paru-paru kita akan beri rawatan terbaik kepada mereka.

“Buat masa ini, yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kurang iaitu hanya 4.9 peratus. Jadi, apa yang penting ialah kita beri rawatan terbaik kepada pesakit kita,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Terdahulu, KKM memaklumkan sebanyak 201 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh adalah 2,967 kes atau 56.5 peratus jumlah keseluruhan kes setakat Jumaat.

BACA: 201 kes sembuh, dua lagi kematian akibat COVID-19

BACA: COVID-19: Hanya 10 individu jalani kuarantin wajib disahkan positif