Inkues Adib: Kami cuba hubungi EMRS ketika diserang tetapi gagal - Saksi kelima

Inkues Adib: Kami cuba hubungi EMRS ketika diserang tetapi gagal - Saksi kelima
Badrul Hisyam di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - BERNAMA
SHAH ALAM: Ketika rusuhan berhubung Kuil Sri Maha Mariamman November lalu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang berada di lokasi kejadian cuba menghubungi jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) yang berdekatan, tetapi gagal.

Menurut Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II, BBP Subang Jaya, Badrul Hisyam Salim@Ali, dia yang ketika itu berada dalam jentera FRT cuba menghubungi jentera EMRS menggunakan Government Radio Network (GIRN) namun gagal ekoran "blind spot" yang dihadapi alat komunikasi itu ketika dihampiri sekumpulan perusuh.

"Sampai ke lokasi (rusuhan), saya lapor kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) tetapi pada masa sama GIRN mengalami blind spot. Pada masa sama juga, sekumpulan orang awam datang ke jentera dan mengatakan jangan padam (api), (suruh) bomba balik.

"Semasa mereka kata jangan padam, mereka sedang berjalan ke arah jentera (FRT), saya dapat melihat mereka dalam keadaan mencurigakan. Sebilangan daripada mereka menghampiri kami dengan tangan disorok di belakang," jelas saksi kelima dalam Prosiding Inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

BACA: 'Saya tidak nampak Adib ditarik' - Saksi kelima

Beliau berkata demikian dalam keterangannya ketika ditanya Pegawai Penyelia, Hamdan Hamzah, serta peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman Wahab, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Badrul Hisyam, 39 tahun, mendakwa ekoran situasi tegang itu, beliau memberi arahan kepada tujuh anggota yang berada di dalam jentera FRT itu supaya tidak turun kerana keadaan merbahayakan.

Namun, menurutnya, dua anggota iaitu Pegawai Bomba (PB) Azim (Mohd Hazim Mohd Rahimi) dan PB Anuar dipercayai telah turun dari jentera sejurus tiba di lokasi kejadian iaitu kira kira 20-30 meter dari kumpulan perusuh terbabit.

Bagaimanapun, katanya, PB Anuar berjaya naik semula ke dalam jentera FRT tetapi PB Azim tidak kelihatan.

BACA: Inkues Adib: 'Dia kena bantai'... Saksi awam imbas kembali insiden

"Masa itulah berlaku balingan objek-objek keras pada jentera. Saya dapat melihat batu, kayu dibaling pada jentera dan pada masa itu, PB Md Elliza (pemandu FRT, Md Elliza Mohd Noor) bertindak mengundurkan jentera kerana disebabkan ancaman balingan objek-objek keras itu. Masa itu saya dimaklumkan oleh anggota mengatakan PB Azim tidak ada bersama.

"Ketika itu, saya memang rasa terancam campur takut kerana kaca di sebelah kiri pemandu memang pecah seribu. Saya berpaling ke belakang dan tidak melihat ke depan sebab takut serpihan kaca itu mendatangkan kecederaan pada saya... di samping saya memegang pintu di sebelah kiri kerana bunyi ketukan amat kuat dan menakutkan," ujar Badrul Hisyam.

BACA: Sebelah tangan kawal stereng, sebelah lagi kawal pintu - Saksi ketiga

Menurutnya, ketika jentera FRT mengundur, dia dapat rasa pelanggaran dipercayai dengan jentera EMRS.

"Ada impak, tetapi tidak kuat... mungkin sebab jentera itu saiz besar dan berat hampir 21 tan. Lepas itu, saya tidak rasa apa-apa, cuma saya sedar bumbung jentera EMRS berada di sebelah kiri jentera FRT ketika itu," katanya.

BACA: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman

Setelah beredar dari lokasi kejadian, Badrul Hisyam berkata dia bersama kesemua anggota ke Balai Polis USJ 18 untuk membuat laporan, tetapi ekoran sistem tergendala di sana, mereka terpaksa ke Balai Polis SS17 Subang Jaya untuk tujuan itu.

Katanya, ketika itu, dia dan beberapa anggota lain cuba menghubungi PB Adib namun panggilan tidak dijawab.

Akhirnya, panggilan salah seorang anggota bomba pada telefon bimbit PB Adib dijawab oleh orang awam mengatakan PB Adib dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dihantar ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).




Tag: inkues adib, Badrul Hisyam Salim, Kuil Sri Maha Mariamman, Muhammad Adib Mohd Kassim, balai bomba subang jaya


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.