NATIONAL
'Saya tidak nampak Adib ditarik' - Saksi kelima

Badrul Hisyam mendakwa, dia hanya tahu Adib tiada bersama mereka ketika tiba di Balai Polis USJ18. - Astro AWANI/Fail
Saksi kelima Prosiding Inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Badrul Hisyam Salim@Ali menjelaskan beliau tidak nampak rakan sekerjanya itu ditarik keluar dari jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ketika mereka dipercayai diserang oleh orang awam.
Jelas Badrul Hisyam, beliau hanya mengetahui ketiadaan Adib ketika tiba di Balai Polis USJ18 Subang Jaya pada awalnya untuk membuat laporan polis berhubung serangan terbabit.
"Berdasarkan report memang saya buat, beliau (Adib) telah mengalami kecederaan parah akibat ditarik dan dipukul oleh perusuh.
"Kejadian saya tidak nampak sama ada Adib ditarik atau dipukul tapi daripada cerita bagaimana pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman mengatakan, pintunya cuba ditarik sekumpulan orang awam. Saya pun beranggapan pintu arwah Adib pun mengalami perkara sama seperti PB (Pegawai Bomba) Shahril," katanya.
Jelasnya, ketika membuat laporan polis di Balai Polis SS17 selepas itu, beliau hanya beranggapan Adib mengalami kecederaan parah ekoran maklumat yang diterima oleh orang awam melalui panggilan telefon bahawa beliau berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
"PB Shahril maklumkan dia tidak nampak Adib turun dan dipukul tapi berdasarkan PB Shahril, saya beranggapan PB Adib dipukul.
"Ketika saya buat report (laporan) saya tidak nampak Adib ditarik. Saya ada maklum pada beliau (anggota polis) yang mengambil keterangan saya, adakah report (laporan) ini boleh diubah yang mengatakan Adib ditarik dan tidak sempat menyelamatkan diri sebab kami tidak nampak, beliau mengatakan boleh.
"Masa dia cetak (laporan polis) itu, saya cakap kami tidak nampak arwah Adib ditarik," katanya.
Ujarnya, perkara terbabit telah dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor ketika keterangannya diambil.
Meskipun sudah lima saksi tampil memberi keterangan, bagaimanapun sehingga kini punca kematian Muhamad Adib belum dapat dipastikan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami